Thursday, July 22, 2010

Kekasih Cintaku

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Ya Allah…
Dengan izinMu
Banyak dugaan telah ku tempuhi
Pernah resah jiwa ini
Pernah gelisah jiwa ini

Ya Allah…
Kau ujiku dengan cinta duniawi
Tidak  terlafaz di bibir ini
Ku pendam dilubuk hati

Ya Allah…
Andai dahulu
Cinta dunia merantai hati ini
Walau tidak kuzahiri
Aku kehilangan cinta hakiki

Ya Allah... 
Gersang jiwaku 
Tandus imanku
Cemas kalbuku
Semakin hilang cintaMu

Ya Allah... 
Solatku tiada khusyuknya
Rukukku tiada ikhlasnya
Sujudku tiada maknanya
Tahajudku hilang air mata

Ya Allah… 
Dalam sujud cintaku
Aku menghadapmu
Ku mohon ampunanMu
Kurniakan kembali cintaMu
Kerna Engkau Kekasih Cintaku…

Ya Allah…
Engkau mendengar bisikanku
Engkau tenangkan jiwaku
Hati ini tenang mengingatiMu
Derita terasa saat melupakanMu
Kerna Engkau Kekasih Cintaku…


Lokasi: bilik kecilku, 
21 Julai 2010
01:45 Pagi, Jepun (GMT +9)



   Alhamdulillah... lebih kurang 2 minggu minggu lepas, majlis akad nikah kakak dan abang iparku berjalan lancar. Sedih sekali, aku tak dapat bersama mereka. Sanak saudara turut hadir dalam majlis tersebut. Aku masih di sini(Jepun) saat itu. Ya Allah, hamba redho ketentuanMu. Alhamdulillah... malam itu, dapat berbicara sebentar dengan kakak, abang iparku, dan ahli keluarga yang lain. Subhanallah... meriah sekali kedengaran dari corong speaker. Tak sangka pula, malam tu, aku pula diberi tazkirah, dan di'basuh' oleh ahli keluarga yang lain. Daripada mak, opah, mak ngah, pak ngah dan lain-lain, sehinggalah mikrofon sampai ke tangan adik sepupuku yang paling kecil. Sungguh tak sangka. Sudah pandai berkata-kata, terasa sungguh di'basuh' malam itu. Aku hanya mampu ketawa kecil. Beberapa hari sebelum tu, aku sempat menelefon emak bertanyakan persiapan perkahwinan kakak. Tiba-tiba masuk 'bab' itu. Emak minta nama untuk dirisik. Aku hanya mampu ketawa kecil dan aku katakan "Rahsia..."

   Ya Allah, seandai ada seseorang yang telah Engkau takdirkan buatku, permudahkanlah buatku. Pertemukan aku dengan seseorang yang akan membuatku lebih mencintaiMu. Pertemukanlah kami di suatu masa yang barakah. Agar terpelihara hati-hati kami. Jauhkan kami daripada cinta yang menjauhkan kami daripada cintaMu. Jauhkan kami daripada zina hati, kerana daripada zina inilah yang akan menjerat hamba-hambaMu daripada mengingatiMu. Berikan kesabaran dan ketabahan kepada kami sehingga tiba saat itu. Ya Allah, perkenankan doaku... 

Ya Allah, hamba bertawakkal padaMu... 

 

No comments:

Post a Comment