Monday, September 21, 2009

Just Around the Corner...





Assalamualaikum w.b.t


Buat pembaca-pembaca blog Fakhrul Islami maaf tak dapat nak update dalam masa 2 minggu ni... insyaAllah bermula khamis ni, penulis akan menghadapi peperiksaan sehingga minggu depan. Sebanyak 14 subjek.


Akhir kalam, Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin. Doakan kejayaan penulis ye... v(^_^)

Wednesday, September 16, 2009

Salam Lebaran...







Assalamualaikum w.b.t.

Ucapan Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin buat ayahanda bonda dan seluruh ahli keluarga di Tanah Air, sahabat-sahabat, dan rakan-rakan blog Fakhrul Islami... Sambutlah Aidilfitri ini secara bersederhana. Moga kita mendapat rahmatnya di Aidilfitri...

Akhir kalam, wassalam... v(^_^)


p/s: Dedikasi khas buat pembaca-pembaca sekalian... Klik! untuk dengar ye... =)




Sunday, September 13, 2009

Siapakah???




Assalamualaikum...

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri
penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang
menjadikan kehidupan itu iaitu
Allah Rabbul'Aalamin,Tuhan sekelian alam.
Maka bertasbihlah segala apa yang ada di
bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan
manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang
diberi petunjuk melalui
ayat-ayat Al-Quran, Hadith dan cerita-cerita
kebaikan namun merasa tidak ada
apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dungu kepala otaknya?
Orang yang dungu kepala otaknya adalah orang
yang tidak mahu lakukan ibadat
tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan
menyiksanya dengan kelalaiannya itu
dan sering merasa tenang dengan
kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan
kemarahannya ketika ia di
dalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan
kemaksiatan di depan matanya tetapi tidak sedikit pun
ada kebencian di dalam
hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang
yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas
junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu
membaca dan meneliti akan kebesaran Al Quran dan
tidak mahu mengambil
pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri
nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak
diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak
mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah
ia mempunyai kerajaan
seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah
orang yang ditimpa musibah
lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi
rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya
Rabbi (Wahai Tuhanku) Aku redha dengan
ketentuanMu ini",sambil mengukir
senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis air mata
mutiara adalah orang-orang yang sedang
bersendiri lalu mengingat akan
kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya
lalu mengalir air matanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur
dengan apa yang ada dan tidak lupa akan
kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas
dengan nikmat yang ada dan sentiasa
mahu mengumpul harta
lalu mengabaikan ibadahnya.

Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap
siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini
berusia pendek sedang akhirat
kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya
berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan
akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-
orang yang senantiasa
mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya
adalah orang yang tidak memperduli akan halal
dan haramnya akan sesuatu
perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak
sembahyang kerana hanya dua
syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu
meninggalkan sembahyang,
pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia
tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai
usia pertengahan namun masih berat untuk
melakukan ibadat dan
amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang
muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku
hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang
mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas
adalah orang yang mati membawa
amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di
perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah
orang yang mati tidak
membawa amal-amal
kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang
yang menghuni syurga kelak
kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia
untuk menghindari siksa neraka.

Di Harap ia dapat memberi sedikit pedoman untuk
renungan kita bersama.

Akhir kalam, berpada-padalah dalam berbelanja bagi menyambut Hari Kemenangan yang bakal tiba beberapa hari lagi. Wassalam... v(^_^)

Saturday, September 12, 2009

Mari BerSUJUD


Assalamualaikum w.b.t.
Apa khabar kalian hari ini? Moga sentiasa berada di dalam kasih rahmat Nya...

Sabda Muhammad Rasullullah yang bermaksud:
Aku diperintah (oleh Allah) bahawa aku sujud di atas tujuh anggota, di atas dahi dan diisyarat dengan tangannya di atas hidungnya,dan dua tangan dan dua lutut dan perut-perut anak jari dua kaki. (Hadis Muttafaqun Alaih)


Tahukah kita bahawa dalam bersujud ada pelbagai hikmah yang tersembunyi?

Begitu juga perlu kita sedar bahawa tidak ada sesuatu pun ciptaan dan suruhan Allah itu sia-sia malahan setiap ciptaan Allah itu mempunyai kelebihan-kelebihan yang selalunya tidak terjangkal oleh akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk:

1. Sujud fizikal sepertimana ketika bersolat.


2. Sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah dan menjauhi larangannya.

Apa yang ditekankan disini adalah sujud fizikal. Ulamak mengatakan sujud ketika solat adalah waktu yang paling hampir antara kita dengan Allah S.W.T.mengalakkan kita bersujud lama.

Dari segi ilmu perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migraine, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran seterusnya menguatkan mentaliti kita.

3. Menurut Dr.Mohd Osman Nasir, hikmah sujud antara lain ialah:

a. Melegakan sistem pernafasan (relived congestion for breathing)
b. Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya


4. Bernafas ketika sujud akan:

a. Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya
b. Membetulkan pundi peranakkan yang jatuh (prolapsed uterus/fallen band womb)
c. Melegakan sakit hernia
d. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid
e. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan (high parts of the lungs)
f. Mengurangkan kesakitan pada pesakit APPENDIKS @ SPLEEN(limpa)
g. Kedudukkan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh
h. Meringankan bahagian PELVIS
i. Memberi dorongan untuk mudah tidur
j. Mengerakkan otot bahu, dada,leher, perut, punggung ketika akan sujud dan bangun darinya
k. Gerakan otot -otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elastik,secara otomatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation)
l. Bagi wanita, gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar dari sakit buah dada
m. Mengurangkan kegemukkan (obesity)
n. Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar dari sakit bergelombang perut (convulsions)
o. Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen
p. Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan mengejut terhindarlah penyakit seperti APOPLEXIA RUPTURE OF BLOOD VESSELS dan ARTE IOSECLEROSIS OF CEREBRUM

Kesan psikologi adalah dengan merasa rendah diri dihadapan Pencipta, sifat sombong, riak, takabur dapat dikikiskan.


Sujud Sahwi
Sujud Tilawah
Sujud Syukur



SUJUD SAHWI

Sujud sahwi adalah sujud kerana lupa. Ia adalah 2 kali sujud selepas tahiyat akhir sebelum memberi salam. Hukum sujud sahwi adalah sunat sekiranya berlaku salah satu sebab-sebab yang mewajipkan sujud sahwi iaitu apabila anda terlupa untuk mengerjakan sunat ab'ad. Sunat ab'ad adalah Sunat ab'ad adalah sunat yang dikuatkan. Jika tertinggal wajib sujud sahwi. Mereka adalah yang berikut:

1. Membaca tahiyat awal
2. Duduk tahiyat awal
3. Selawat atas Nabi dalam tahiyat awal
4. Membaca doa qunut
5. Berdiri qunut
6. Selawat atas Nabi dalam qunut
7. Selawat atas keluarga Nabi dalam qunut
8. Selawat atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir
9. Sunat ab'ad adalah wajib hanya apabila anda bersolat berjema'ah dan imam berbuat demikian.


Sebab-sebab sunat sujud sahwi


1. Meninggalkan sunat ab'ad dengan sengaja atau terlupa
2. Syak meninggalkan sunat ab'ad
3. Memindahkan Rukun Qauli kepada yang lain daripada tempatnya
4. Syak akan bilangan raka'atnya
5. Melakukan perkara yang membatalkan dengan terlupa
6. Imam terlupa membuat sunat ab'ad atau ia membuat sesuatu yang disunatkan sujud sahwi


SUJUD TILAWAH

Sujud tilawah ialah apabila membaca atau nebdebgar ayat-ayat yang disunatkan sujud. Ada 14 tempat di dalam Al-Qur'an yang disunatkan sujud apabila sampai ke ayat-ayatnya. Boleh dikerjakan di dallam solat terutamanya pada solat subuh hari Juma'at apabila membaca ayat As-Sajjadah, atau di luar solat tatkala membaca atau mendengar ayat-ayat yang disunatkan sujud.


Ayat-ayat yang disunatkan sujud
1. Surah Al-A'raf ayat 206
2. Surah ar-Ra'ad ayat 15
3. Surah An-Nahl ayat 49
4. Surah Al-Israk ayat 109
5. Surah Mariam ayat 58
6. Surah Al-Hadj ayat 18
7. Surah Al-Furqan ayat 60
8. Surah An-Namal ayat 26
9. Surah As-Sajjadah ayat 15
10. Surah As-Syad ayat 24
11. Surah Hamim As-Sajjadah ayat 38
12. Surah An-Nadjmi ayat 62
13. Surah Al-Insyiqaq ayat 21
14. Surah Al-'Alaq ayat 19


Rukun sujud tilawah di luar solat 4 perkara

1. Niat beserta takbir
2. Takbirratul ihram
3. Satu kali sujud
4. Memberi salam

Sepotong Hadis Sahih yang bermaksud:

"Daripada Ibnu Umar RadhiAllahu Anhu,katanya:Adalah Rasullullah SAW membaca ia(ayat sejadah) sedangkan kami berada disisinya,lalu Baginda sujud dan kami pun turut sujud bersamanya,maka bersesak-sesaklah kami sehingga tidak mendapat tempat bagi meletakkan dahi untuk sujud". (Hadis Riwayat Bukhari)

SUJUD SYUKUR

Sujud syukur ialah sujud kerana mendapat sesuatu nikmat atau terlepas daripada sesuatu bencana. Sujud syukur mengandungi dua kali sujud di luar solat


Rukun sujud syukur 4 perkara

1. Niat beserta takbir
2. Takbirratul ihram
3. Satu kali sujud
4. Memberi salam

Hadis berkaitan sujud Syukur yang bermaksud:

"Daripada Abi Bakrah r.a. Bahawasanya Nabi SAW adalah apabila mendatangi akan Beliau oleh sesuatu yang menyukakannya lantas ia turun sujud (sujud syukur) kerana Allah".

InsyaAllah, semoga artikel kali ini sedikit sebanyak dapat mengingatkan kembali apa yang telah kita lupa. Semoga bermanfaat... Perbanyakkanlah sujud kita kepada Illahi di saat malam-malam terakhir Ramadhan tahun... Semoga Allah menerima taubat kita... insyaAllah...


Akhir kalam, Wassalam... v(^_^)

Thursday, September 10, 2009

Keindahan Malam Lailatul Qadar


"Assalamualaikum, Muhammad, aku dah nak gerak pergi rumah ko ni, nanti tunggu aku kat depan rumah..."

"Ok, aku tunggu kat depan rumah. Hati-hati on the way tu, mana tau kot-kot ada anjing kat tengah jalan..."


Begitulah mereka setiap tahun, di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak, setiap hari, di 10 malam terakhir, mereka akan pergi berqiamullail secara berjemaah di masjid. Seawal jam 2.30 pagi, Muhammad akan bangun untuk bersiap ke masjid. Manakala Firdaus akan datang ke rumah Muhammad untuk bersama-sama pergi ke masjid dengan menaiki basikal. Jarak antara rumah mereka tidaklah begitu jauh. Hanya memerlukan masa selama 5 minit untuk Firdaus sampai ke rumah Muhammad.

Semenjak berusia 11 tahun, Muhammad rajin mengikuti ayahnya untuk berqiamullail di masjid pada setiap kali 10 malam terakhir. Keinginannya untuk bertemu dengan malam yang dijanjikan Allah SWT yang lebih baik daripada seribu bulan sentiasa dinanti. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadr:


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Dan tahukah kamu apakah dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 5.


Setiap kali di dalam sujud akhirnya dia pasti berdoa:

"Ya Allah, izinkan hamba Mu bertemu Malam Lailatulqadar Mu, izinkan hamba untuk melihat keindahan ciptaan Mu, terimalah taubatku, terimalah ibadah hamba Mu yang hina ini Ya Allah.... Amin..."

Kedengaran bunyi basikal diberhentikan di depan rumah.

"Assalamualaikum...."

"Waalaikumussalam, masuklah dulu pagar tak kunci tu."

Muhammad masuk sebentar ke dalam rumah untuk menyimpan kembali nashkah Al-Quran yang dibacanya sementara menunggu Firdaus sebentar tadi. Setelah itu, mereka bersama-sama berbasikal ke masjid. Jarak dari rumah Muhammad ke masjid dengan berbasikal hanya mengambil masa selama 15 minit.

Tidak seperti kebiasaan malam-malam sebelumnya, malam itu dirasakan amat nyaman dan sunyi sekali. Malah tidak juga begitu sejuk. Seringkali Muhammad menggeletar kesejukan dan bersin sebelum sampai ke masjid kerana hanya mengenakan sehelai baju melayu berkain nipis beserta kain pelikat setiap kali ke masjid. Malam itu, Muhammad berasa segar sekali. Bunyi salakan-salakan anjing juga tidak kedengaran seperti malam-malam yang lain ketika mereka ke masjid.

Lebih kurang pada pukul 3.00 pagi mereka sampai ke masjid. Segera mengambil wuduk seterusnya ke tingkat atas masjid untuk melakukan solat tahajjud dan berzikir sementara menunggu jemaah yang lain hadir ke masjid. Kebiasaannya solat akan bermula sekitar 3.30 pagi.

Tepat jam 3.30 pagi bilal memanggil makmum supaya memenuhkan saf. Muhammad dan Firdaus bergerak ke hadapan. Kebiasaannya bahagian tengah menjadi tempat mereka ketika berjemaah, tetapi malam itu mereka tidak sempat merebut tempat yang paling hampir dengan imam. Mereka hanya mendapat tempat saf pertama di bahagian hujung sekali, sebelah kiri, bersebelahan dengan tingkap masjid. Dari tingkap itu dapat dilihat kawasan bahagian belakang masjid yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya lampu. Pernah beberapa kali pak cik-pak cik yang memakir motorsikal di situ kehilangan motorsikal setelah solat. Semenjak itu, amat jarang sekali sesiapa pun memakir kenderaan di situ.

Ketika membetulkan saf, Muhammad sempat menjengukkan kepala melalui tingkap melihat kawasan di bahagian belakang masjid, kemudian mendongak ke langit. Langit yang gelap tetapi indah dihiasi bintang-bintang di langit. Tidak kelihatan lagi bentuk bulan, kerana malam itu sudah 27 Ramadhan. Beberapa hari lagi umat islam di seluruh dunia akan menyambut hari mulia, Hari Raya Aidil Fitri.

"Allah...huakhbar...."

Imam mengangkat takbir untuk solat sunat taubat. Diikuti para jemaah termasuk juga Muhammad dan Firdaus. Solat diikuti penuh tertib.

"Assalamualaikumwarahmatullah... Assalamualaikumwarahmatullah..."

Imam memberi salam, seterusnya diikuti dengan bacaan wirid. Para jemaah mengikuti perbuatan imam. Muhammad agak lambat bangun mengangkat kepala kerana berdoa seketika di dalam sujudnya. Setelah itu, Muhammad memberi salam dan mengikuti wirid seperti mana imam dan jemaah yang lain.

Ketika berwirid bersama imam dan jemaah yang lain, tiba-tiba terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya untuk melihat ke luar tingkap. Muhammad menoleh ke kiri, melihat ke bahagian luar kawasan masjid.

"Subhanallah..."

Muhammad bertasbih di dalam hati. Seketika terkejut dengan apa yang dilihat. Sunggu indah. Kawasan di bahagian belakang masjid yang gelap gelita menjadi cerah disinari cahaya putih. Cahaya putih yang belum pernah sekali pun dilihatnya sebelum ini. Cahaya putih suci. Muhammad mendongak ke langit, kelihatan cahaya yang terang itu datang dari langit. Subhanallah cantik sekali cahaya itu. Tidak dapat untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Muhammad menoleh ke arah Firdaus, kelihatan Firdaus kusyuk berwirid bersama imam dan para jemaah yang lain. Muhammad menarik tangan Firdaus. Firdaus menoleh dengan muka sedikit berkerut kerana terkejut.

"Tengok luar..."

Muhammad berkata dengan suara perlahan. Kali ini, Firdaus pula tergamam seketika terkejut dengan apa yang dilihat. Seakan tidak percaya melihat keindahan malam itu.

"Allah...huakhbar"

Imam bangun kembali mengangkat takbir. Memulakan solat hajat. Mereka tersedar daripada keasyikan melihat keindahan malam itu. Kemudian sama-sama berdoa seketika. Mereka tersenyum dan seterusnya turut bangun untuk solat hajat bersama imam dan jemaah yang lain.

Selesai solat hajat, mereka melihat ke luar tingkap. Sudah tiada lagi cahaya tadi. Kawasan belakang masjid menjadi gelap semula. Begitu juga langit sudah kembali gelap disinari cahaya bintang.

"Terima kasih Ya Allah, syukurku kepada Mu mengizinkan kami melihat keindahan ciptaan Mu... Semoga bertemu lagi dengan malam Lailatul Qadar Mu di tahun hadapan..."

Muhammad dan Firdaus tidak henti-henti mengucapkan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah SWT. Mengharapkan agar tahun-tahun berikutnya mereka akan diizinkan lagi oleh Allah SWT untuk melihat keindahan itu... InsyaAllah...


Akhir kalam, InsyaAllah sama-samalah kita mempertingkatkan amalan di 10 malam yang terakhir ini. InsyaAllah sama-sama kita berusaha mencari Lailatul Qadarnya... Moga dengan izinNya kita akan bertemu malam yang dijanjikan untuk mereka yang beriman dan beramal soleh... Wassalam... v(^_^)

Sunday, September 6, 2009

Ramadhan ku di Perantauan

Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah, masuk hari ni, dah separuh perjalanan kita di bulan Ramadhan tahun 1430 Hijrah. Bagaimana dengan Ramadhan kalian? kualiti ibadah lebih baik daripada tahun sebelumnya, atau semakin merosot kualiti ibadah kita tahun ni berbanding tahun-tahun sebelum ni. Ambillah sedikit masa untuk mumuhasabah diri kita. InsyaAllah...

InsyaAllah nak cerita sikit.... Beberapa kronologi Ramadhan tahun ni untuk dikongsi bersama kalian...



Hari itu, 24 Ogos 2009, tanggal 3 Ramadhan, selepas terawikh di masjid dekat kampung Tok Wan & Opah


Usai terawikh, kami bersalam-salaman dengan Opah dan Tok Wan. Opah paling sedih waktu salam dengan aku. Berkali-kali opah cium pipi aku. Sebelum opah melepaskan tangan aku, Opah pesan, "Jaga diri baik-baik dekat sana. Belajaq rajin-rajin. Jaga agama, sembahyang jangan tinggai. Balik tahun depan Opah takdak dah...". Berkali-kali aku menepuk bahu Opah. Mintak Opah berhenti cakap macam tu. Air mata aku tak dapat nak tahan lagi. Sebab tak nak menangis depan Opah aku terus ke kereta untuk start enjin. Sedu sedan aku sorang-sorang dalam kereta. Dalam kereta, sebelum bertolak balik ke rumah dari masjid, sekali lagi melalui tingkap aku salam, cium tangan Opah. Aku harapkan itu bukanlah salam yang terakhir. Dalam hati sempat aku berdoa, "Ya Allah, panjangkanlah umur Opah dan Tok Wan. Berikanlah kesihatan yang baik buat mereka. Aku mahu berjumpa Opah dan Tok Wan lagi tahun depan. Andai boleh ambil sahaja baki hidupku dan berikan kepada Opah dan Tok Wan. Setidak-tidaknya Ya Allah, aku mohon agar hajat Opah termakbul sebelum Opah dan Tok Wan..."


Hari itu, 25 Ogos 2009, tanggal 4 Ramadhan, 7.00 malam


Alhamdulillah, aku bersama seluruh ahli keluarga dapat berbuka bersama-sama di salah sebuah restoran berhampiran KLIA. Nama restoran dah lupa. Buat kali terakhir kami sekeluarga berbuka bersama-sama pada Ramadhan tahun ini. Kenapa? insyaAllah malam ni, aku akan menaiki pesawat ke Jepun. Penerbangan dijadualkan pada pukul 11.45 malam. Terasa sangat bahagia dapat berbuka bersama... Syukur pada Allah SWT


Hari itu, 26 Ogos 2009, tanggal 5 Ramadhan, dalam kapal terbang, hampir 5.00 pagi


Aku dikejutkan daripada tidur untuk breakfast. Aku tengok luar, "Ya Allah, dah cerah". Perut aku rasa sangat lapar. Pramugari mintak aku pilih makanan berdasarkan menu yang ada. Aku memilih menu sarapan pagi yang mempunyai daging, roti dan salad. Sewaktu makanan ada di depan mata, berfikir sejenak sama ada mahu terus berpuasa atau tak. Perjalanan masih jauh. Perut pulak lapar sangat. Akhirnya, kata putus diambil, aku tak berpuasa hari ni. InsyaAllah dengan niat kerana musafir. Sampai di airport nanti, untuk sampai ke kolej masih jauh perjalanan. Paling tidak, untuk sampai ke kolej, 3 hingga 4 jam diperlukan. Perjalanan masih jauh.


Hari itu, 26 Ogos 2009, tanggal 5 Ramadhan, di dalam bilik, jam 8.15 malam


Buat pertama kalinya tahun ini, aku solat terawikh sendirian. Sebelum takbiratul ihram, aku melafazkan niat, "Usholli sunnatat tarawihi rak'ataini makmuman lillahhitaala...". Astaghfirullah, aku tersalah niat. Terniat untuk menjadi makmum. Seketika, syahdu terasa, rindu untuk berjemaah di masjid. Setelah membaca surah An-Nas, sekali lagi aku melafazkan niat solat, "Usholli sunnatat tarawihi dua rakaat kerana Allah Taala...". Astaghfirullah, (haha...)kali ni aku ketawa sendirian di dalam bilik yang sunyi. Macam mana pulak boleh bercampur niat bahasa arab dengan bahasa melayu. Haish... homesick sangat agaknye waktu ni... huhu... Kali ketiga, aku melafazkan niat solat. "Usholli sunatat tarawihi rak'ataini lillah hi taala... Allahu Akbar...". Alhamdulillah, sempurna niatku kali ni.


Hari itu, 1 September 2009, tanggal 11 Ramadhan, pagi hari


Bunyi alam telefon mengejutkan aku dari tidur. Mengeliat seketika. Adeh... malasnya nak pergi kelas. Hari ni hari pertama aku kembali ke kelas semula setelah sebulan bercuti. Terasa sangat malas. Tapi aku kuatkan hati. Belajar demi agama, satu kewajipan untuk aku. Terasa bersemangat kembali... turun dari katil dan terus bersiap-siap untuk ke kelas.


Hari-hari seterusnya....


Hari-hari yang lainnya tak ada apa yang special, cuma nak beritahu kat sini waktu subuh masuk lebih kurang pukul 4.00 pagi. Memang agak penat nak bangun tidur lebih kurang pukul 3.00 pagi untuk bersahur. Tapi alhamdulillah, setakat ni tak pernah miss sahur lagi. Berbuka pulak lebih kurang pkl 6.00 petang lebih. Kena berpuasa lebih kurang 14 jam. Lebih sikit masa berpuasa berbanding di Malaysia.

Bersahur dan berbuka, masak sendiri je. Kadang-kadang rindu jugak masakan mak kat rumah. Tak ada lagi Pasar Ramadhan. Beginilah hidup di perantauan... Segala-galanya kena buat sendiri. Perlu berdikari... Hampir setiap hari masak. Tapi kalau ada lauk lebih semalam, tak basi dan boleh makan lagi. Tak payah masak. Perangat balik je... hehe... Jimat sikit masa (^_^)

Lauk untuk sahur semalam


Ini pulak lauk berbuka semalam


Terima kasih sebab membaca hingga ke akhir... Sebarang persoalan atau komen boleh tulis di ruangan komen kat bawah ni ye... Onegaishimasu....

Akhir kalam, wassalam... v(^_^)

Saturday, September 5, 2009

Fatwa Syeikh Al-Qaradawi Mengenai Waktu Berbuka Puasa Bagi Mereka Yang Berada Di Udara


sumbergambar

Assalamualaikum wbt


As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ketua persatuan ulamak sedunia telah mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.

As-Syeikh berkata, sesungguhnya dia dikejutkan ketika sekembalinya beliau daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan islam bahawa sekarang telah masuknya waktu berbuka puasa, dalam waktu yang sama matahari masih terpampang dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatussyeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang first class yang duduk bersebelahannya. Syeikh berkata, tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari, sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk, adakah sah kamu solat maghrib pada tika ini? Jawab mereka, tidak!! Maka aku menjawab balik, demikianlah juga berbuka puasa, tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya.

Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan bahawa manusia itu setiapkali dia berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan lewat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau ditempat –tempat yang tinggi maka akan lewatlah terbenamnya matahari dari penglihatan mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar.

Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang berlaku kejadian ini) dan juga pesawat-pesawat arab lain supaya memperingatkan pilot-pilot supaya berhati-hati dengan perkara ini dan memastikan waktu berbuka puasa betul-betul selepas terbenamnya matahari.

Oleh itu, bagi mereka yang akan menaiki kapal terbang, harap-harap dah faham cara nak menentukan waktu sahur dan waktu berbuka bila berada dalam kapal terbang. InsyaAllah...

Akhir kalam, wassalam... v(^_^)


sumber artikel... di sini

Thursday, September 3, 2009

Tidurlah Sayang...



Assalamualaikum...
Kalau rasa mengantuk, luangkan sedikit masa kalian untuk membaca artikel di bawah. InsyaAllah semoga bermanfaat.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda:

"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk bermungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."


Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang. Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti Banyak kes-kes kemalangan dilaporkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya.

Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)

Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren; Ibid)

Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of snoozing')

Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah

Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerehatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik.

Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:

"Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya."

Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata:


"Benarlah Salman." (Bukhari)


Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan.

Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan:

"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim)

Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa.
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.

Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.

Oleh itu, pembaca-pembaca sekalian, andai kalian mengantuk, jangan ditahan-tahan mengantuk yang terasa. Tidurlah, semoga sempurna ibadah kita. InsyaAllah, wallahualam.

Akhir kalam, wassalam. v(^_^)

Tuesday, September 1, 2009

Antara Sabar & Mengeluh

Assalamualaikum...

Semoga sama-sama kita menghayati dan mengambil iktibar dpd kisah berikut... InsyaAllah...

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu," Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu.

Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan.

Dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.

Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.

Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Akhir kalam, wassalam...