Thursday, September 10, 2009

Keindahan Malam Lailatul Qadar


"Assalamualaikum, Muhammad, aku dah nak gerak pergi rumah ko ni, nanti tunggu aku kat depan rumah..."

"Ok, aku tunggu kat depan rumah. Hati-hati on the way tu, mana tau kot-kot ada anjing kat tengah jalan..."


Begitulah mereka setiap tahun, di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak, setiap hari, di 10 malam terakhir, mereka akan pergi berqiamullail secara berjemaah di masjid. Seawal jam 2.30 pagi, Muhammad akan bangun untuk bersiap ke masjid. Manakala Firdaus akan datang ke rumah Muhammad untuk bersama-sama pergi ke masjid dengan menaiki basikal. Jarak antara rumah mereka tidaklah begitu jauh. Hanya memerlukan masa selama 5 minit untuk Firdaus sampai ke rumah Muhammad.

Semenjak berusia 11 tahun, Muhammad rajin mengikuti ayahnya untuk berqiamullail di masjid pada setiap kali 10 malam terakhir. Keinginannya untuk bertemu dengan malam yang dijanjikan Allah SWT yang lebih baik daripada seribu bulan sentiasa dinanti. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadr:


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Dan tahukah kamu apakah dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 5.


Setiap kali di dalam sujud akhirnya dia pasti berdoa:

"Ya Allah, izinkan hamba Mu bertemu Malam Lailatulqadar Mu, izinkan hamba untuk melihat keindahan ciptaan Mu, terimalah taubatku, terimalah ibadah hamba Mu yang hina ini Ya Allah.... Amin..."

Kedengaran bunyi basikal diberhentikan di depan rumah.

"Assalamualaikum...."

"Waalaikumussalam, masuklah dulu pagar tak kunci tu."

Muhammad masuk sebentar ke dalam rumah untuk menyimpan kembali nashkah Al-Quran yang dibacanya sementara menunggu Firdaus sebentar tadi. Setelah itu, mereka bersama-sama berbasikal ke masjid. Jarak dari rumah Muhammad ke masjid dengan berbasikal hanya mengambil masa selama 15 minit.

Tidak seperti kebiasaan malam-malam sebelumnya, malam itu dirasakan amat nyaman dan sunyi sekali. Malah tidak juga begitu sejuk. Seringkali Muhammad menggeletar kesejukan dan bersin sebelum sampai ke masjid kerana hanya mengenakan sehelai baju melayu berkain nipis beserta kain pelikat setiap kali ke masjid. Malam itu, Muhammad berasa segar sekali. Bunyi salakan-salakan anjing juga tidak kedengaran seperti malam-malam yang lain ketika mereka ke masjid.

Lebih kurang pada pukul 3.00 pagi mereka sampai ke masjid. Segera mengambil wuduk seterusnya ke tingkat atas masjid untuk melakukan solat tahajjud dan berzikir sementara menunggu jemaah yang lain hadir ke masjid. Kebiasaannya solat akan bermula sekitar 3.30 pagi.

Tepat jam 3.30 pagi bilal memanggil makmum supaya memenuhkan saf. Muhammad dan Firdaus bergerak ke hadapan. Kebiasaannya bahagian tengah menjadi tempat mereka ketika berjemaah, tetapi malam itu mereka tidak sempat merebut tempat yang paling hampir dengan imam. Mereka hanya mendapat tempat saf pertama di bahagian hujung sekali, sebelah kiri, bersebelahan dengan tingkap masjid. Dari tingkap itu dapat dilihat kawasan bahagian belakang masjid yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya lampu. Pernah beberapa kali pak cik-pak cik yang memakir motorsikal di situ kehilangan motorsikal setelah solat. Semenjak itu, amat jarang sekali sesiapa pun memakir kenderaan di situ.

Ketika membetulkan saf, Muhammad sempat menjengukkan kepala melalui tingkap melihat kawasan di bahagian belakang masjid, kemudian mendongak ke langit. Langit yang gelap tetapi indah dihiasi bintang-bintang di langit. Tidak kelihatan lagi bentuk bulan, kerana malam itu sudah 27 Ramadhan. Beberapa hari lagi umat islam di seluruh dunia akan menyambut hari mulia, Hari Raya Aidil Fitri.

"Allah...huakhbar...."

Imam mengangkat takbir untuk solat sunat taubat. Diikuti para jemaah termasuk juga Muhammad dan Firdaus. Solat diikuti penuh tertib.

"Assalamualaikumwarahmatullah... Assalamualaikumwarahmatullah..."

Imam memberi salam, seterusnya diikuti dengan bacaan wirid. Para jemaah mengikuti perbuatan imam. Muhammad agak lambat bangun mengangkat kepala kerana berdoa seketika di dalam sujudnya. Setelah itu, Muhammad memberi salam dan mengikuti wirid seperti mana imam dan jemaah yang lain.

Ketika berwirid bersama imam dan jemaah yang lain, tiba-tiba terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya untuk melihat ke luar tingkap. Muhammad menoleh ke kiri, melihat ke bahagian luar kawasan masjid.

"Subhanallah..."

Muhammad bertasbih di dalam hati. Seketika terkejut dengan apa yang dilihat. Sunggu indah. Kawasan di bahagian belakang masjid yang gelap gelita menjadi cerah disinari cahaya putih. Cahaya putih yang belum pernah sekali pun dilihatnya sebelum ini. Cahaya putih suci. Muhammad mendongak ke langit, kelihatan cahaya yang terang itu datang dari langit. Subhanallah cantik sekali cahaya itu. Tidak dapat untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Muhammad menoleh ke arah Firdaus, kelihatan Firdaus kusyuk berwirid bersama imam dan para jemaah yang lain. Muhammad menarik tangan Firdaus. Firdaus menoleh dengan muka sedikit berkerut kerana terkejut.

"Tengok luar..."

Muhammad berkata dengan suara perlahan. Kali ini, Firdaus pula tergamam seketika terkejut dengan apa yang dilihat. Seakan tidak percaya melihat keindahan malam itu.

"Allah...huakhbar"

Imam bangun kembali mengangkat takbir. Memulakan solat hajat. Mereka tersedar daripada keasyikan melihat keindahan malam itu. Kemudian sama-sama berdoa seketika. Mereka tersenyum dan seterusnya turut bangun untuk solat hajat bersama imam dan jemaah yang lain.

Selesai solat hajat, mereka melihat ke luar tingkap. Sudah tiada lagi cahaya tadi. Kawasan belakang masjid menjadi gelap semula. Begitu juga langit sudah kembali gelap disinari cahaya bintang.

"Terima kasih Ya Allah, syukurku kepada Mu mengizinkan kami melihat keindahan ciptaan Mu... Semoga bertemu lagi dengan malam Lailatul Qadar Mu di tahun hadapan..."

Muhammad dan Firdaus tidak henti-henti mengucapkan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah SWT. Mengharapkan agar tahun-tahun berikutnya mereka akan diizinkan lagi oleh Allah SWT untuk melihat keindahan itu... InsyaAllah...


Akhir kalam, InsyaAllah sama-samalah kita mempertingkatkan amalan di 10 malam yang terakhir ini. InsyaAllah sama-sama kita berusaha mencari Lailatul Qadarnya... Moga dengan izinNya kita akan bertemu malam yang dijanjikan untuk mereka yang beriman dan beramal soleh... Wassalam... v(^_^)

9 comments:

  1. mge kita bertemu dengan lailatulqadar pada tahun ini.

    ReplyDelete
  2. insyaAllah... moga ibadah kita selama ini juga diterima oleh Allah SWt...

    ReplyDelete
  3. untuk pengetahuan saudara, sebenarnya ni kisah benar yang terjadi pada seorang hamba Allah... beberapa tahun dulu...

    ReplyDelete
  4. “Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di RamadanMu, wahai Yang Maha Pengasih dan Penyayang pertemukanlah kami dengan malam LailatulqadarMu Ya Allah.”

    ReplyDelete
  5. muhammad itu muhammad fakhrus syakirin kah? semoga tahun ni dipertemukan lagi dengan lailatul qadar..insyaAllah...amin ;)

    ReplyDelete
  6. cik Sizuka... Muhammad itu seorang hamba Allah... Kisahnya suatu masa dahulu membuatkan aku ingin sekali bertemu malam itu...

    ReplyDelete
  7. Betapa indahnya ciptaan Allah di malam lailatul qadar....
    subhanallah! :)

    ReplyDelete