Saturday, December 5, 2009

Nur Kasih... impak berganda...

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Assalamualaikum w.b.t.... apa khabar kalian hari ini? semoga sihat sejahtera dan sentiasa berada di dalam lembayung kasih Allah SWT...

Lama betul tak update blog ni. Sebab baru je habis exam. Alhamdulillah... exam pun boleh dikatakan dapat jawab dengan baik. Lebih baik kalau nak dibandingkan dengan exam sebelum ni.

Actually, nak buat ulasan sikit pasal drama Nur Kasih. Drama yang boleh dikatakan menjadi 'fenomena', tak kira sama ada daripada golongan mak cik dan pak cik, ataupun para remaja. Penulis juga turut meminati drama tersebut. Setiap minggu penulis akan menonton secara online di website TV3 kerana tidak dapat menonton di televisyen kerana berada di perantau. Tetapi penulis ada menjumpai satu ulasan yang sangat baik di laman I Luv Islam. So penulis hanya copy paste saja kali ni. Selamat membaca...

Nur Kasih, Mencari Diri
www.iLuvislam.com
ditulis oleh : ZaffanKhalid
editor : NuurZaffan




“Cikgu, jangan buat BBQ hari Jumaat malam. Kami nak tengok Nur Kasih....”, emak mengajuk kata-kata anak muridnya. Pelajar darjah enam.
Tergelak kami mendengarkannya. Namun, hati terdetik, apakah agaknya yang dipelajari oleh anak-anak berusia 12 tahun?
Tidak dinafikan Nur Kasih mempunyai aura tersendiri dalam masyarakat. Saya sendiri jatuh cinta. Cinematography yang mempesona! MasyaAllah.
Tatkala Facebook dihujani kuiz-kuiz untuk melihat apakah watak Nur Kasih yang sesuai dengan diri, apakah kita benar-benar `melihat` mesej untuk dihayati?
 
Perihal Anak Muda

”Kalau saya jadi Sarah, saya pun akan jadi seperti itu”, komen adik di sebelah.

Saya kurang memahami. ”Seperti yang bagaimana?”.

”Lihatlah cara ibu bapa mereka melayan Sarah dan kakaknya. Jauh berbeza”, komen yang lahir dari hati seorang anak muda.

”Ye tak ye juga”, hati kecil saya mengakui.

Jika saya membuat bancian, pasti ramai yang amat tidak menyukai watak Sarah. Tidak terkecuali watak Adam di awal cerita. Geram, marah, benci! Jauh berbeza dengan watak Aidil dan Nur Amina.

Ironinya, Sarah dan Adam dibesarkan dalam sebuah keluarga berpendidikan agama. Namun, seperti lirik lagu, iman tidak dapat diwarisi.

Terdapat beberapa persamaan antara watak Adam dan Sarah yang berperang dengan jiwa muda. Sifat terburu-buru, tidak sabar. Sifat melawan, tidak mahu mendengar kata. Sekalipun ibu bapa telah berusaha dan berdoa, sikap mereka tidak bertukar.


Paradigma Uda dan Dara

”Adam jahat! Adam anak setan!”, kata-kata Adam sewaktu kecil yang menempah tamparan daripada Mak Jah.

Begitulah paradigma yang terbentuk dalam diri Adam. Dia seorang yang jahat. Lebih-lebih lagi apabila Ustaz dan Mak Jah mendidik Adam dengan kekerasan. Mereka sendiri mengakuinya tatkala berbicara di kamar tidur.

”Mungkin cara didikan kita pada Adam silap. Selalu sangat dipukul. Jadi bebal anak tu”, luah Mak Jah, naluri seorang ibu berbicara.

Sekalipun Adam kelihatan `jahat`, masih terselit ketaatannya pada ibu bapa.

Ketika Ustaz sakit, Adam tetap pulang selepas dipujuk Aidil. Selain itu, niat Adam untuk pulang segera ke Australia dibatalkan apabila Ustaz jatuh sakit sekali lagi. Babak di kampung diakhiri dengan Adam mengikut kehendak bapanya, berkahwin dengan Nur (kisah dia mengabaikan Nur satu perkara lain).

Berbeza dengan watak Sarah. Salah satu paradigma Sarah ialah mabuk bercinta tidak berbalas. Cinta buta. Selepas berusaha sedaya upaya mendapatkan cinta, barulah Sarah tersedar, ”Buruk sangat ke Sarah mak?”, tanya Sarah pada diri sendiri sebenarnya. Pertanyaan ketika di episod akhir.

Kata orang, hendak dijadikan cerita. Kata saya, lihatlah, penulis tidak menjadikan cerita sia-sia!


Menganjak Paradigma

Bayangkan watak Adam dan Sarah, paradigma mereka telah terbentuk hampir 20 tahun. Maka, untuk mengubah paradigma mereka ke arah yang positif, tentunya mengambil masa yang lama. Paradigma tidak berubah sekelip mata. Dengan izin Allah jua.

Paradigma seseorang terbentuk sejak lahir. Banyak faktor yang mempengaruhi lalu membentuk persepsi. Ibu bapa, kawan-kawan, persekitaran dan media antara faktor yang menyumbang.

Menariknya, anjakan paradigma Adam dan Sarah bermula dengan ujian. Ujian terus dari Allah swt. Adam kehilangan anak sulungnya bersama Katrina. Kemudiannya Adam dipenjara. Sarah pula ditimpa kemalangan merempuh cermin.

Hidayah itu datang dengan pelbagai cara. Terpulang kepada individu melihatnya dengan mata hati. Hidayah melalui pencarian. Hidayah melalui ujian!



Pencarian Diri Bermula



Ujian yang menimpa Adam dan Sarah merupakan faktor luaran, sesuai sebagai permulaan untuk menganjak paradigma. Namun, tidak menjamin usaha untuk terus mengubah diri ke arah kebaikan. Jelas mesejnya bahawa untuk berubah, bergantung kepada individu. Adam dan Sarah perlu mencari selepas mereka di uji!

Pencarian diri Adam diceritakan dengan panjang lebar berbanding Sarah yang `insaf` dihujung cerita.

Secara umumnya, pencarian Adam mengenal diri dan Islam perlu dimulakan dengan diri sendiri walau penuh rintangan. Usaha dimulakan sedikit demi sedikit, syaratnya istiqamah.

Adam memulakan pencarian tanpa bantuan abangnya Aidil. Bahkan, Adam menyedari, dia bertanggungjawab untuk mendidik Katrina, dirinya perlu berubah dahulu. Selain rintangan dari dalam diri, Adam perlu berhadapan dengan Katrina yang terkejut dengan perubahannya. Begitulah pencarian Adam bermula. Sunnah orang berjuang. Berjuang menentang diri sendiri. Berjuang menempuh rintangan.

Namun, Adam berusaha sedikit demi sedikit. Asalkan istiqamah. Sekali-sekala Adam terbabas. Katrina menjadi mangsa `kekasarannya`. Namapun terbabas, segalanya pulih bahkan bertambah baik apabila Adam menyedari kelemahannya. Kembali ke atas track sebenar.

Membentuk Diri

Setelah beberapa ketika mencari diri dan dalam masa yang sama cuba mengubahnya, sampailah ke satu tahap, Adam mampu untuk membetulkan kesilapan lamanya. Kesilapannya terhadap Nur Amina. Kesilapan terhadap ibu, ayah serta abangnya.

Tanpa ujian sebagai permulaan, tanpa pencarian diri dan Islam, sukar buat Adam untuk menjatuhkan ego sendiri bagi membentuk diri ke arah yang lebih baik. Malah, membaiki kesilapan lalu. Sukar.

Perubahan diri Adam berperingkat-peringkat. Adam tidak menjadi anak serta suami yang soleh sekelip mata. Bergantung kepada masa. Bergantung kepada izin Allah jua. Namun, Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya. Bahkan Allah lah yang paling dekat tatkala hambaNya memohon padaNya. Cuma, hamba ini yang alpa berusaha. Astaghfirullah!

Walaupun pada awalnya kaki Adam tersangkut untuk melangkah bersama ayah dan abangnya ke syurga, dia kemudiannya berusaha. Lalu Allah redha mengizinkan.

Sarah pula menjatuhkan egonya apabila benar-benar redha untuk melepaskan Aidil. Aidil yang cukup bertakhta di hatinya sehinggakan lupa bahawa pemilik mutlak hati seorang hamba adalah tuannya, Allah swt.

”Kak Nur kahwinlah dengan abang Aidil, Sarah tak kesah”, jelas keikhlasan diwajah Sarah dihujung cerita. Berbeza dengan dirinya yang bermuka-muka pada awalnya. Tanpa dinafikan, yang Maha Mengetahui ikhlas hanyalah Allah SWT.


 
Berapa peratuskah 'Sarah' dalam diri kita?

Aplikasi Buat Anak Muda


Mungkin kita tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz mahupun imam seperti Adam dan Sarah. Namun, jangan kita lupa. Syarat untuk berubah adalah diri sendiri!

Apabila balighnya anak Adam itu, maka mereka mampu berfikir. Mampu untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Mampu untuk mencari diri dan Islam.

Buangkan tabiat menyalahkan ibu bapa, menuding jadi pada persekitaran dan media. Kita punya kuasa dan kawalan terhadap diri masing-masing. Berperanglah dengan diri sendiri untuk berubah. Berjuanglah walaupun sukar kerana kesukaran itulah sunnah.

Apabila wujud kemahuan untuk berubah, jangan mudah menyerah kalah. Membina diri ibarat membina bangunan. Andai tergopoh-gapah dan menggunakan short-cut, alamatnya robohlah. Tidak bertahan lama!

Sama-sama kita bersabar, jiwa muda. Selepas membina, cabaran untuk mempertahankannya pula. Mempertahankan iman dan Islam sehinggalah kita mati kelak.

 
 
Setiap Manusia Punya Kebaikan
”Sejahat mana pun seorang manusia, dirinya masih punya kebaikan”, tazkirah ayah pada suatu petang.
”Masih ingat cerita seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang? Apabila bertanya kepada seorang ulama`, bagaimanakah dirinya hendak bertaubat. Ulama` itu menjawab, lelaki itu tiada harapan, hanya layak ke neraka.”

”Maka beranglah lelaki tadi lalu dibunuhnya ulama` itu, mencukupkan 100 orang. Kemudian, lelaki itu berjumpa ulama` yang kedua. Soalan yang sama diajukan. Jawapan berbeza diberikan.”

”Kamu masih punya harapan untuk bertaubat kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang. Taubat nasuha”, begitulah berbezanya jawapan ulama` kedua. Jawapan penuh dengan kasih sayang. Dengan izin Allah jua Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Lihatlah manusia dengan kasih sayang. Kata orang, ”Hate the sin, not the sinner”.

Samada melihat orang disekeliling kita, mahupun kita melihat diri sendiri. Seburuk manapun, setiap diri punya kebaikan di dalam hati. Yakinlah.

Ujian datang dan pergi. Mata hati yang celik membuatkan diri mencari. Akhirnya membentuk diri. Sebelum pulang menuju ilahi.

Syaratnya diri sendiri!




Akhir kalam...  untuk berubah itu mungkin susah, namun tidak mustahil sama sekali. Sekalipun andai kita telah tersesat jauh, tidak mustahil untuk menemui jalan pulang kepada yang Maha Esa. Wassalam... (^_^)

9 comments:

  1. Syabas! perkongsian yang menarik akh! ana dulu2 je tngok citer ni ( time menu dinner nak siap ). lama dah xlayan tp mmg xdinafikan ianya jd trend baru utk dunia perfileman di M'sia ni khususnya. Klu bleh biarlah cerita yg bwa msg islam itu banyak.ini x, latestly, ade ke patut dorg bikin filem JALANG. tgok iklan dia pun cam lucah. By the way, smoga mumtaz in exam!

    ReplyDelete
  2. betul.. cerita nie memberi byk msg n pengajaran cuma bgaimana kita olah n fahami apa yg cuba disampaikan.. jht xsemestinya jht selama nya.. dan yg baik n sempurna juga xsemestinya xleh berubah atau beralih hati..kekadang bila allah ini menguji sesorg itu mcm2 akan berlaku... moga kita berubah ke arah kebaikan dng selalu munasabah diri ni..

    ReplyDelete
  3. Salam,

    panjang entry ini...namun, seronok baca...semuanya betul...nur kasih memang memberi impak yang besar pada masyarakat...terpulang pada individu mahu contohi yang mana..(mestilah yg baik..hehe)...i luv watak nur dalam cite ni..;)

    ReplyDelete
  4. to Faiz:
    ana setuju dengan pendapat nta. Patutnya filem-filem yang bawa mesej islam diperbanyakkan, biar menjadi ikutan para remaja.
    cerita Jalang? tak pernah dengar pn.. huhu...

    ReplyDelete
  5. to sleeping beaUty:
    yup... betul tu... segalanya boleh berubah. bermuhasabah itu salah satu cara terbaik agar kita sentiasa menjadi lebih baik dari hari ke hari... insyaAllah...

    ReplyDelete
  6. to SizuKa:
    memang banyak pengajara-pengajaran yang baik dalam cerita nur kasih, tapi agaknya berapa ramai anak-anak muda kat luar sana yang ambil iktibar? hmm... harap-harapnya serba sedikit dapat mengingatkan bg mereka yang terlupa.

    ReplyDelete
  7. Excellent blog and great post and contents. My vote for you in BCA 2009. and I recommend my friends also to vote for you. Hopes that you will grace me with your precious Vote in all categories. Just copy this Voting links in your browser window to Vote, http://bloggerschoiceawards.com/blogs/show/69640
    http://bloggerschoiceawards.com/blogs/show/69552
    http://bloggerschoiceawards.com/blogs/show/69551

    ReplyDelete
  8. harap perwtakan nur tu meninggalkan kesan la..watak tabah..baik..sopan..

    ReplyDelete
  9. to Solehah:
    yup... betul tu... moga-moga ramai yang menjiwai watak baik nur..

    ReplyDelete